Kisah Tahun Gajah
Abrahah naik marah apabila mengetahui bahawa kerajaan pimpinan Dzu Nuwas telah bertindak keras kepada orang-orang yang memeluk agama Nasrani supaya keluar dari agama itu dan memaksa mereka memmeluk agama Yahudi. Dengan pergolakan yang berlaku di Yaman, maka mudah Abrahah dapat menawan negara tersebut.
Sebaik sahaja dia berkuasa, maka dia pun mendirikan sebuah gereja yang besar dan cantik. Kemudian dia merasa marah apabila orang-orang dari luar dan Yaman sendiri masih berkiblat ke Mekah. Berduyun-duyun orang datang ke Mekah untuk mengunjungi Kaabah iaitu Baitullah yang mereka puja dan hormati sejak dibangunkan oleh Nabi Ibrahim A.S
Apabila Abrahah melihat gerejanya tidak mendapat sambutan, maka dia pun mengambil tindakan untuk menghancurkan Kaabah. Maka berangkatlah tentera Abrahah dengan bala tenteranya yang berkenderaan gajah menuju ke Kota Mekah dengan didampingi oleh Abu Rughal sebagai penasihat dan penunjuk jalan.
Ketika dalam perjalanan dari San'a ke Mekah, Abrahah memaksa setiap suku bangsa Arab taat setia kepada kerajaannya. Apabila Abrahah dan tenteranya sampai di suatu tempat yang bernama 'Almughammas' yang terletak di persimpangan jalan di antara Tha'if dan Mekah, dia telah memerintahkan tentera-tenteranya merampas harta kekayaan milik penduduk Tuhamah yakni dari suku kaum Quraisy. Di antara barang yang di rampas itu termasuklah 200 ekor unta milik Abdul Mutalib Bin Hasyim (datuk Rasulullah S.A.W).
Abdul Mutalib pada masa itu adalah pemuka dan pemimpin sukunya, di samping itu, dia juga adalah pelayan yang membahagi-bahagikan air zam-zam kepada pengunjung-pengunjung yang datang ke Kaabah dan dia juga merupakan orang yang sangat terkemuka dan disegani di antara suku Quraisy.
Setelah suku Quraisy dan bangsa Arab yang lain tahu akan tujuan kemaraan tentera Abrahah, maka mereka pun mengadakan rundingan untuk membuat apa yang perlu. Dalam masa rundingan sedang berjalan, maka tiba-tiba datang utusan dari Abrahah memberitahu bahawa Abrahah hendak bertemu dengan pemuka-pemuka.
Akhirnya berangkatlah satu rombongan yan diketuai oleh Abdul Mutalib menemui Abrahah, apabila sampai di tempat Abrahah, maka mereka di sambut dengan ramah.
Abrahah mendahului dengan mengatakan, "Kami ini datang bukan untuk memerangi kamu semua tetapi kami datang adalah untuk merobohkan Kaabah, dan kalau kamu semua tidak menghalangi kami dari tujuan kami, maka kami tidak akan melakukan pertumpahan darah walau setitik pun."
Sebaik sahaja selesai Abrahah menerangkan tujuannya, Abdul Mutalib pun berkata, "Kami tidak bermaksud untuk berperang dengan tuan, apa lagi dengan tentera tuan yang begitu ramai, dan kami juga tidak bersedia untuk itu."
Berkata Abrahah, "Baiklah, nampaknya kamu mengizinkan kedatanganku, jadi adakah apa-apa yang kehendak kamu sampaikan kepadaku?".
Abdul Mutalib berkata, "Kami hanya mengharapkan kamu dapat kembalikan harta kami yang telah dirampas oleh tentera kamu itu."
Apabila Abrahah mendengar kata-kata yang di ucapkan oleh Abdul Mutalib, maka dia pun berkata, "Wahai bapak suku kaum Quraisy, sesungguhnya aku begitu simpati dan hormat kepadamu, akan tetapi apabila aku mendengar permintaanmu itu, maka hilanglah rasa hormat dan simpatiku padamu. Aku sungguh hairan memikirkan kamu, aku ingat kamu hendak membicarakan tentang Kaabah, yang menjadi tempat suci pemujaanmu dan nenek moyangmu, dan kamu tahu tujuanku ke mari untuk merobohkannya, tetapi kamu lebih pentingkan 200 ekor unta kamu yang di rampas oleh tenteraku. Ternyata kamu menganggap soal Kaabah adalah satu soal yang re,eh, dan aku merasa kecewa dengan pendirianmu."
Lalu Abdul Mutalib berkata, "200 unta itu adalah milik aku sendiri dan sudah sepatutunya aku berusaha untuk menyelamatkannya. Tentang Kaabah pula, itu adalah urusan Yang Maha Kuasa, dan terpulanglah kepada-Nya untuk menyelamatkannya."
Mendengar kata-kata Abdul Mutalib itu, maka dengan angkuhnya Abrahah berkata, "Kaabah itu tidak akan terlepas dari rancanganku untuk merobohkannya."
"Terpulanglah kepada pemilik Kaabah untuk melindunginya," kata Abdul Mutalib.
Kemudian Abrahah pun memerintahkan tenteranya supaya memulangkan kembali segala harta yang di rampas beserta dengan 200 ekor unta kepunyaan Abdul Mutalib. Maka bergembiralah rombongan Abdul Mutalib apabila mendengar penjelasan daripada Abrahah. Setelah mendapat jaminan tentang harta mereka, lalu rombongan Abdul Mutalib mengesorkan kepada Abrahah supaya sepertiga harta kekayaan Mekah di serahkan kepada Abrahah dengan syarat Abrahah tidak memusnahkan Kaabah, tetapi, syor itu telah ditolak oleh Abrahah.
Maka kembalilah rombongan Abdul Mutalib dengan perasaan hampa sambil memikirkan akan perkara yang akan berlaku.
Sebaik sahaja Abdul Mutalib dan rombongannya sampai kota Mekah, maka ia pun memberitahu penduduk Mekah supaya menjauhkan diri dan mencari perlindungan di atas bukit-bukit yang berasa di sekitar kota Mekah. Apabila sekitar bandar Mekah kosong, lalu Abdul Mutalib dan beberapa pemuka Quraisy menghampiri Kaabah sambil mendoakan kepasa Tuhan agar Kaabah di selamatkan.
Kesemua penduduk Kaabah yang melihat dari atas bukit merasa cemas dan gelisah menantikan tentera Abrahah yang akan menghancurkan Kaabah. Penduduk Mekah merasa lega apabila mengetahui bahawa tentera Abrahah telah berundur dengan baki tenteranya apabila telah berlaku satu peristiwa yang mana sekumpulan burung-burung yang di kirim oleh Allah S.W.T membawa batu api yang sangat panas dan membuangnya ke atas tentera Abrahah. Banyaklah tentera Abrahah yang mati dan luka. Mereka yang luka kembali ke negara mereka dengan siksaan dan kengerian yang mereka hadapi itu.
Kisah peristiwa tentera bergajah ini ada di sebutkan oleh Allah S.W.T dalam surah al-Fil ayat 1 hingga 5.
0 comments:
Catat Ulasan
Comment Jom