Orang Soleh Dengan Pencuri
Pada suatu malam, dia hendak pergi mencuri, tiba-tiba dia bertemu dengan seorang miskin yang sentiasa duduk di dalam masjid. Dia tidak tahu bahawa orang yang bercakap dengan dia itu adalah orang yang miskin sangat soleh dan zuhud terhadap dunia. Maka tanpa segan silu perncuri itu mengajak lelaki miskin itu pergi mencuri bersama-sama dengannya.
"Hai orang miskin." kata pencuri itu.
"Mengapa engkau selalu duduk di dalam masjid sambil menanti belas kasihan orang lain. Marilah ikut aku nescaya engkau akan memperoleh pekerjaan yang menguntungkan. Kalau engkau bersetuju marilah kita pergi mencuri bersama-sama." ajak pencuri itu.
"Baiklah," jawab orang miskin itu ringkas.
"Kalau begitu marilah kita pergi sekarang kerana hari sudah gelap," ajak pencuri itu.
"Lebih baik kita atur rancangan dulu," kata pencuri itu lagi.
"Saya masuk ke dalam kedai manakala engkau tunggu sahaja di luar. Kalau engkau nampak orang datang segeralah beritahu aku, ingat, jangan sampai kita tertangkap.."
Setelah mereka merancang dengan teliti maka pencuri itu pun memulakan tugasnya mengikut apa yang telah di rancangkan. Pencuri itu masuk ke kedai manakala orang miskin yang soleh itu menanti di luar.
Setelah agak lama pencuri itu berada di dalam, tiba-tiba orang miskin yang soleh itu berteriak, "Hai kawan, cepat keluar ada orang datang ke mari."
Mendengar teriakkan orang miskin itu, pencuri itu kelam kabut lari keluar untuk menyelamatkan diri bersama dengan kawannya itu. Setelah agak tenteram, dia pun berkata kepada kawannya itu.
"Tadi engkau kata ada orang datang, tapi mana orang itu?"
Maka, orang miskin itu menjawab dengan lemah lembut, "Benar kata engkau hai kawan, tidak kah engkau sedar bahawa ada Zat Yang Maha Melihat yang sentiasa melihat kita."
"Walaupun kita tidak melihat-Nya, tetapi Dia sentiasa melihat kita. Dia itu Allah Yang Maha Pemurah yang telah menyediakan rezeki untuk semua hamba-Nya."
Orang miskin itu terus berkata, "Hai kawan, engkau telah mengajakku mencari kekayaan dengan cara mencuri. Sekarang bolehkah engkau membuktikan kepada aku, manakah pencuri yang telah menjadi kaya di dunia ini?
Pencuri itu termenung mendengar kata-kata orang miskin itu lantas dia pun menyatakan keinsafannya serta berjanji tidak akan mengulangi pekerjaan yang terkutuk itu.
kalau cakap bohong lama2 jadi pencuri..
BalasPadam